Tuesday, April 12, 2011

Pahang Tambah Baik Garis Panduan Perusahaan Burung Walet


KUANTAN – Garis panduan dan syarat perusahaan sarang burung walit yang sedang dirangka kerajaan Pahang akan mula diguna pakai sepenuhnya menjelang pertengahan tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang Datuk Hoh Khai Mun.
Beliau berkata ia adalah bagi penambahbaikan daripada Garis Panduan Industri Burung Walit Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang dilancarkan 19 Jan lepas.
Katanya penambahbaikan itu perlu untuk disesuaikan dengan senario pembangunan pesat industri berkenaan di Pahang.
“Industri burung walit ini dapat sokongan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Oleh demikian kerajaan turut menyediakan pelbagai insentif termasuk kemudahan pinjaman daripada Agro Bank, memudahkan kelulusan pelesenan, menggalakkan pelaburan luar dan eksport,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri ketika menjawab soalan Chang Hong Seong (BN-Teruntum) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk mengeluarkan garis panduan perusahaan burung walit di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Pahang Datuk Ishak Mohamad berkata Mara sentiasa berusaha membantu usahawan Bumiputera menjalankan perniagaan dengan menyediakan ruang niaga di kawasan strategik di semua daerah di negeri itu.
Katanya Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) juga sentiasa memberi keutamaan kepada peniaga Bumiputera dalam penyediaan premis perniagaan di lokasi strategik dengan kadar sewa yang rendah bergantung kepada lokasi dan jenis premis.
“Dalam tempoh sehingga Rancangan Malaysia Kesembilan, PKNP memiliki lebih 700 unit kedai pelbagai jenis dan pada masa ini, sedang mencari lokasi strategik untuk membangunkan kedai dan gerai bagi tujuan berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Syed Hamid Syed Mohamed (PAS-Kuala Semantan). – BERNAMA

No comments:

Post a Comment