Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
PUTRAJAYA: Lebih 40,000 pengusaha burung walet di negara ini yang mengaut keuntungan lumayan diberikan tempoh tiga tahun bagi mendaftar dan melesenkan premis dengan kadar RM50 bagi mengelak tindakan pihak berkuasa.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata buat masa ini, ada lebih 50,000 pengusaha burung walet di negara ini, tetapi hanya kira-kira 10 peratus saja yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan berkaitan.
Beliau berkata, pengusaha perlu mendaftarkan industri mereka bagi memudahkan mereka mendapatkan lesen daripada PBT seterusnya membolehkan mereka mengeksport produk mereka ke luar negara.
“Mereka perlu mendaftar dan mendapatkan lesen bagi memudahkan produk dieksport selain memastikan produk burung walet yang dieksport memiliki kualiti yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas melancar dan menyerahkan Garis Panduan Pembangunan Industri Burung Walet, semalam.
Beliau berkata, garis panduan yang pertama kali dikeluarkan itu memperuntukkan kaedah pendaftaran premis burung walet di seluruh negara dan borang pendaftaran premis penternakan dan pemprosesan sarang burung walet boleh dimuat turun melalui laman sesawang JPV. “Semua pengusaha diwajib berdaftar dengan JPV dan pendaftaran premis bermula dengan pengisian borang pendaftaran, lawatan ke tapak oleh pegawai JPV, pemberian nombor Radio Frequency Idenfication (RFID) dan kad pengenalan pemilik premis walet.
“Semua prosedur itu perlu dipatuhi dan hanya mengambil kos hanya RM50 bagi setiap pendaftaran,” katanya. Menurutnya, dalam usaha menggalakkan pembabitan pelbagai golongan masyarakat dalam industri burung walet, kementerian sudah merangka pelan induk pembangunan sarang burung walet sehingga 2020 dengan menggariskan tindakan yang perlu dilaksanakan pelbagai agensi dan swasta bagi menjayakan pembangunan industri sarang burung walet di negara ini.
Beliau berkata, buat masa ini, industri pengeluaran sarang burung walet di negara ini sudah mencapai kapasiti 250 tan dengan nilai kira-kira RM1 bilion setahun dan dijangka meningkat sehingga 500 tan dengan nilai RM4.5 bilion menjelang 2020.
“Garis pembangunan ini diguna pakai di seluruh negara bagi menyelaras dan mengharmonikan pelbagai peraturan pelaksanaan aktiviti penternakan serta kegiatan import dan eksport sarang burung walet supaya lebih tersusun dan berdaya majut,” katanya.
No comments:
Post a Comment