Thursday, September 15, 2011

Isu walet: Kementerian Pertanian tidak pernah lantik wakil


PUTRAJAYA 16 Ogos - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak pernah melantik mana-mana syarikat luar untuk menjadi wakil kerajaan dalam memberi penerangan mengenai masalah eksport burung walet tempatan ke China.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya langsung tidak tahu-menahu mengenai pelantikan syarikat luar untuk memberi sebarang penerangan berkaitan isu tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti masalah tersebut bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan.

"Masalah larangan itu timbul disebabkan tindakan segelintir pengusaha tempatan yang mengeksport sarang burung walet yang tidak berkualiti secara rahsia ke China.

"Sarang burung walet yang akan dieksport ke luar negara sepatutnya mempunyai sijil Tanda Kesihatan Veterinar (VHM) daripada pihak kementerian bagi memastikan ia melepasi piawaian kandungan nitrat yang ditetapkan," katanya.

Beliau diminta mengulas perkara itu selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) dengan Institut Skill-tech (IST) di sini, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan mengenai tindakan China melarang kemasukan eksport sarang burung walet ke negara Tembok Besar itu.

Terdahulu, majlis itu turut menyaksikan MoU mengenai pelaksanaan sekolah pemasaran di antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan NATC.

Noh berkata, beliau dan wakil kementerian akan ke Shanghai untuk memperjelaskan isu tersebut dan membuat pertemuan bilateral mengenai perkara itu pada awal bulan depan.

Sementara itu, beliau berkata, MoU antara NATC, FAMA dan LPP adalah persefahaman bagi menggunakan Institut Pengurusan Peladang (IPP) di Sungai Petani, Kedah sebagai sekolah pemasaran melalui strategi laut biru.

"Melalui konsep persefahaman ini, NATC akan membiayai kos latihan kemahiran pertanian, FAMA pula menyumbang tenaga pakar dan IPP melalui LPP akan membenarkan bangunannya digunakan sebagai sekolah pemasaran.

"Sekolah pemasaran ini bakal memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai latihan aspek pengurusan perniagaan dan pemasaran produk pertanian serta industri asas tani," katanya.

Beliau menjelaskan, buat permulaan sekolah pemasaran itu telah menerima 53 pelatih bagi pengambilan pertamanya Jun lalu.

No comments:

Post a Comment